Thibaut Courtois membidas jurulatih Belgium, Domenico Tedesco, dan mempertahankan tindakannya yang menarik diri daripada skuad kebangsaan ke Estonia untuk kelayakan Euro 2024 akibat kecederaan lutut.

Terdahulu, Tedesco menegaskan penjaga gol Real Madrid itu enggan mengikuti perlawanan berkenaan kerana "tersinggung" tidak dilantik sebagai ketua pasukan ketika menentang Austria, hujung minggu lalu.

Tedesco mendedahkan selepas perlawanan Austria, Courtois memaklumkannya bahawa dia akan pulang, malah menolak khabar angin ia berkaitan isu perubatan dengan memberitahu sidang akhbar: “Saya harap saya boleh katakan ia adalah satu kecederaan tetapi saya tidak boleh berbohong.”

Bagaimanapun, dakwaan Tedesco itu telah menimbulkan kemarahan Courtois yang mengeluarkan kenyataan keras di laman sesawang peribadinya untuk menyangkal dakwaan jurulatih tersebut.

“Saya terkejut mendengar sidang akhbar apabila jurulatih mendedahkan sebahagian pandangannya dan perbualan peribadi kami selepas perlawanan menentang Austria,” tulis Courtois.




“Ini bukan kali pertama atau kali terakhir saya bercakap dengan jurulatih mengenai isu berkaitan bilik persalinan, tetapi ini adalah kali pertama seseorang memutuskan untuk memberitahunya secara terbuka.

“Saya amat kecewa dengan perkara ini tetapi saya ingin menjelaskan bahawa penilaian jurulatih ini tidak sesuai dengan realitinya.”