Bekas penembak kebangsaan, Hasli Izwan, percaya bilangan skuad kecil yang dihantar ke Sukan Asia Hangzhou sedikit sebanyak memberi impak kepada keputusan yang dihasilkan.

Berikutan keputusan kurang memberangsangkan kem menembak negara dalam itu yang melabuhkan tirai Ahad lalu, lantas beberapa langkah harus dilakukan oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dalam memastikan ada kelompok pemain lebih besar dan berkualiti.

Hasli yang pernah beraksi dalam Sukan Olimpik Beijing 2008 menyuarakan hasrat agar had umur acara menembak ditingkatkan dalam Sukan Malaysia (Sukma).

Ia bagi tujuan membuka peluang kepada penembak negara menggunakan platform tersebut untuk beraksi dengan lebih matang.

"Sukma harus menetapkan had umur kerana fasa kematangan penembak adalah dalam linkungan 20-22 tahun.




"Awal-awal nampak bagus tapi apabila mencapai kematangan, mereka mula tercari-cari.

"Latihan menembak hanya berlaku di lapang sasar dan sebaik seseorang penembak yang bagus itu melebihi had umur 21 tahun, khidmat mereka di peringkat negeri sudah tamat dan akhirnya dia tidak dapat pergi lebih jauh lagi," kata olimpian Beijing 2008 itu.