Penembak negara, Haritz Iklil Hessly Hafiz, akur keadaan jaket longgar memberi kesan sehingga dia gagal menyerlah dalam pusingan awal acara menembak 10 meter air rifle individu lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 hari ini.

Menurutnya, keadaan jaket yang longgar tidak dapat membantu dirinya untuk mengstabilkan bidikan sehingga hanya dapat mencatatkan 622.6 mata, sekali gus gagal memperbaharui catatan peribadi terbaiknya, 625 mata.

"Seperti kebiasaan, sebelum kejohanan kami ada kawalan peralatan yang akan memeriksa ketebalan dan kekerasan jaket kami," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syen Yeoh.

"Saya nampak ada sedikit pengurangan yang dilakukan mereka.

"Pada awalnya, saya rasa jaket itu agak keras untuk menyokong seluruh tubuh saya tetapi semakin lama ia digunakan sepanjang tahun ini, ketebalan dan kekerasannya semakin kurang.

"Jadi, ia memberikan kesan kepada tubuh saya kerana ia tidak melekat sepenuhnya dengan tubuh saya," katanya.

Haritz Iklil seterusnya akan bergandingan dengan Nur Suryani Taibi dalam acara 10 meter air rifle berpasukan campuran esok.