Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefry Ngadirin, tampil meluahkan perasaan bangga terhadap kelayakan kali kedua buat penembak negara, Johnathan Wong.

Johnathan menjadi atlet ketiga Malaysia layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024, demikian disahkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Selasa lalu.

Pakar acara pistol itu layak ke temasya berkenaan selepas menduduki tempat keempat acara 10 meter air pistol dalam Kejohanan Menembak Dunia di Chanhgwon, Korea Selatan.

Ia akan menjadi penampilan keduanya dalam temasya sukan terbesar dunia itu selepas melakukan penampilan pertama dalam edisi di Rio pada 2016.

Jefry mengakui banyak persiapan yang perlu dilakukan buat Johnathan secara tertumpu termasuk menjalani latihan di Eropah.

"Kami cukup berbangga terhadap atlet yang telah mara ke Sukan Olimpik. Saya berharap lebih ramai meraih tiket secara merit ke Paris 2024. Kami akan membuat persiapan menjalani latihan di Eropah sebagai persiapan ke Sukan Olimpik," katanya.