Jurulatih menembak negara, Muhamad Zubair Mohammad, enggan diselubungi rasa kecewa walaupun tiada seorang pun wakil negara yang layak ke final bagi acara rifle bagi kemunculan pertamanya selaku jurulatih pada usia 31 tahun Sukan Asia.

Sebaliknya, pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2017 itu kekal positif apabila mengakui generasi baru negara mempunyai potensi untuk menyinar pada masa depan berbekalkan pengalaman di pentas ini.

"Tugas ini bukan mudah tapi peserta negara memberikan kerjasama tinggi.

"Semua pihak sedang berusaha jadi ini merupakan titik tolak bagi skuad menembak," katanya.

Aritz Iklil Hessly Hafiz menamatkan cabaran 50 meter rifle tiga posisi individu lelaki hari ini di tempat ke-23 daripada 46 peserta setelah membidik 575 mata, kurang satu mata daripada rekod kebangsaan miliknya.

"Pengalaman ini begitu bermakna kerana dapat bertanding dengan atlet bertaraf dunia selain dapat membuat kawan baru dan sedikit sebanyak menimba ilmu.

"Pencapaian saya dalam temasya ini agak memuaskan kerana menghasilkan catatan terbaik sekitar rekod terbaik kebangsaan," kata Aritz Iklil pula.

Skuad menembak negara turut kempunan ke final acara 10m air pistol individu wanita dan berpasukan wanita apabila Nurul Syasya Nadiah Arifin, Bibiana Ng dan Joseline Cheah gagal berada dalam kelompok lapan terbaik acara masing-masing.