Gimnas muda negara, Ally Hamuda Abdullah, berasa teruja untuk melakukan penampilan Sukan SEA pertamanya menjelang temasya di Kemboja itu bulan depan.

Atlet kelahiran Sarawak itu merupakan pemenang pingat emas acara gelang roman lelaki dalam Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu.

Menurutnya, perasaan teruja itu hadir sebaik namanya disenaraikan untuk ke Kemboja dan memilih untuk menangguhkan pengajiannya di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi membuat persiapan menghadapi temasya dwitahunan berkenaan.

"Pada ketika saya mengetahui nama saya tersenarai dalam skuad kebangsaan, saya agak teruja jadi saya menunda pengajian saya selama dua semester di UNIMAS untuk datang dan berlatih bersama skuad negara," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syen Yeoh.

"Yang pertama, saya mahu berterima kasih kepada jurulatih, Ng Shu Liang, kerana dapat lihat kebolehan saya dan memberikan saya peluang untuk bersaing dalam Sukan SEA.

"Sebelum ini, memang saya ada terfikir untuk memohon agar dapat mewakili negara tetapi disebabkan komitmen terhadap pelajaran, saya tidak dapat memberikan fokus sepenuhnya.

"Tetapi kali ini, dengan peluang yang diberikan, saya harap dapat membuktikan bahawa keputusan untuk memilih saya adalah satu keputusan yang betul," katanya.