Tirai Kejohanan Gimrama MSSM 2023 dilabuhkan dengan johan keseluruhan menjadi milik Kuala Lumpur apabila meraih 14 pingat emas, 13 perak dan 5 gangsa.

Kontinjen ibu kota berjaya mendominasi dua kategori B12 dan B15 dengan jumlah kutipan 11 pingat emas.

Kategori B18 pula menyaksikan Selangor menjadi johan dengan membawa pulang empat pingat emas empat perak dan satu gangsa.

Menjadi satu-satunya atlet gimrama mewakili Terengganu, Yvie Yu Wen Xuen bersyukur kerana dapat memperbaiki rekod terdahulu dengan berada dalam kelompok 15 terbaik Kejohanan Gimrama MSSM 2023.

Biarpun terpaksa berkelana dari Terengganu ke ibu kota dua bulan lebih awal, namun ia tidak mematahkan semangat atlet gimrama Terengganu itu yang mempunyai minat mendalam dalam sukan gimnastik sejak berumur lima tahun.

Sementara itu, ibunya, Gloria Jennis Tan melihat bakat anaknya berjaya dikesan sejak kecil lagi.

Sebagai ibu, dia memberi sokongan penuh dan berharap agar Yvie dapat melebarkan sayapnya di pentas tertinggi suatu hari nanti.

Untuk rekod, Yvie berjaya berada menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik kategori gelung, belantan dan bola edisi lalu dan berjaya memperbaharui rekod tersebut tahun ini dengan melengkapkan saingan dalam kelompok 15 terbaik kategori sama.