Buat julung kalinya Malaysia dipilih sebagai tuan rumah pertama di Asia untuk mengendalikan Kejohanan Piala Dunia dan Piala Cabaran Kumpulan Gimnastik Estetik 2022, bermula hari ini hingga Ahad ini.

Kejohanan yang sepatutnya berlangsung pada 2020 itu terpaksa dibatalkan berikutan pandemik COVID-19 dan kini ia dapat direalisasikan menerusi penyertaan seramai 500 atlet dari 20 negara.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Kumpulan Gimnastik Estetik Malaysia (MAGGA), Datuk Radha Krishna, persiapan kejohanan itu telah diusahakan sejak Mei lalu lagi.

"Saya sendiri pergi melakukan tinjauan dan saya rasa Stadium Malawati, Shah Alam, sudah bersedia (untuk penganjuran)," katanya sidang media hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif MAGGA, Sarah Sarraj, mendedahkan Malaysia menyasarkan tiga pingat emas dan sekurang-kurangnya kedudukan lima terbaik dalam kejohanan Piala Dunia tahun ini.

"Kami sasarkan tiga pingat emas terutama dalam Kejohanan Asia yang berlangsung Jumaat dan Sabtu ini.




"Kemudian kami akan beralih ke Piala Dunia dengan matlamat untuk meraih tempat kelima.

"Pasukan dari Jepun, Kanada dan Amerika Syarikat dijangka berikan saingan hebat.

"Malah, wakil Asia, Kazakhstan, juga mampu beri cabaran. Negara-negara ini saling merebut tiga tempat teratas.

"Jadi kami berharap mampu meraih kedudukan kelima terbaik dalam Piala Dunia dan tempat kelapan Piala Cabaran," jelasnya.

MAGGA yang mula diperkenalkan enam tahun makin mendapat sambutan khususnya di Eropah.