'Tiada halangan untuk menjadi bintang', itu yang diperkata atlet gimrama dari Sabah, Ningsari Atiqah Ali.

Walaupun perlu berulang-alik ke ibu kota, Kuala Lumpur bagi menjalani sesi latihan setiap minggu, Ningsari Atiqah tidak menganggap itu sebagai beban dan titik noktah buatnya untuk mencapai impian bergelar gimrama negara.

"Saya berkorban perkara lain demi ke Kuala Lumpur untuk menjalani latihan. Jadi saya banyak meluangkan masa di gim untuk berusaha bagi memastikan saya mencapai impian ke tahap yang lebih tinggi," katanya menerusi Nadi Arena.

Saingan hari pertama Kejohanan Gimrama Majlis Sukan Sukan Malaysia (MSSM) 2023 menyaksikan wakil Selangor, Ebony Chai Hui Ru, memulakan aksi hebat dalam apparatus acara gelung kategori bawah 15 tahun.

Perasaan gemuruh Ebony sedikit sebanyak menganggu fokus sewaktu persembahan namun dengan berkat latihan intensif yang dilakukan sebelum ini, dia yakin dapat mengungguli kesemua apparatus sekaligus menidakkan hasrat atlet gimrama lain.

"Saya bermula sedikit gemuruh namun saya mula menyesuaikan diri dan lebih tenang ketika melakukan rutin," kata Ebony.

"Bersaing dengan barisan atlet kebangsaan, saya mahu memastikan beraksi dengan baik dalam usaha mendapatkan keputusan positif."