Atlet gimrama negara, Izzah Amzan, berazam mencapai keputusan lebih baik berbanding Sukan Komanwel Birmingham menjelang misi Kejohanan Gimnastik Dunia di Sofia, Bulgaria, bulan depan.

Izzah meraih pingat gangsa temasya di Birmingham minggu lalu bagi disiplin belantan dengan catatan 28.6 mata dan akan mula menyambung persiapan latihan esok.

"Andai terpilih, saya mahu meraih hasil yang lebih bagus daripada tiga penyertaan lalu.

"Tiket kelayakan ke Kejohanan Dunia ditentukan menerusi Kejohanan ASIA yang lalu.

"Jadi seorang sahaja wakil yang dapat pergi berbanding tiga sebelum ini, kami akan mengetahui (siapa mewakili Malaysia)," katanya.




Sementara itu, pemenang dua emas dalam Sukan Komanwel, Ng Joe Ee, pula mahu mengetepikan gimrama buat seketika apabila perlu menumpukan sepenuhnya terhadap persiapan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang akan bermula Februari depan.

"Daripada tiga gimnas senior, seorang sahaja yang akan menyertai Kejohanan Dunia, oleh itu saya tidak akan pergi.

"Sebaliknya saya akan ke Sukan Asia tahun depan.

"Jadi saya perlu berlatih lebih gigih demi kejohanan selepas ini dan kerana saya dapat mengutip banyak pengalaman dalam Sukan SEA dan Sukan Komanwel tahun ini.

"Saya harap dapat tampil lebih baik selepas ini," katanya.

Izzah dan Joe Ee menghadiri Majlis Minum Petang anjuran PErsatuan bagi meraikan kejayaan mereka dalam Sukan Komanwel Birmingham.