Menjelang Sukan Komanwel Birmingham 2022 bulan depan, juara Terbuka Malaysia 2021, Aifa Azman, dijangka digandingkan bersama Rachel Arnold dalam acara beregu wanita bagi menggantikan S. Sivasangari yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam, tidak menolak kemungkinan menggandingkan kedua-dua pemain berkenaan dalam usaha Malaysia meraih emas dalam acara tersebut.

Enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, namun menjelaskan senarai baharu atlet ke Birmingham bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Sivasangari, yang dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Komanwel bersama atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin, dilapor mengalami kecederaan di bahagian kepala dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Lebuhraya Express Maju pada 3.46 pagi, Ahad lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu dipercayai adalah penumpang kereta Proton Saga BLM yang terbakar 90 peratus selepas melanggar sebuah lori muatan satu tan sebelum terbabas dan terbakar.

Sivasangari, juara Kejohanan Skuasy Kebangsaan ke-37, sedang bercuti semester dari Universiti Cornell di Amerika Syarikat, dan menjadi sandaran emas negara dalam acara beregu, selain harapan dalam perseorangan wanita di Birmingham.

Sukan Komanwel 2022 berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos.