S. Sivasangari kini berada dalam kelompok 11 terbaik dunia dalam kemaskini terbaru ranking dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) pada hari ini, iaitu merupakan ranking tertingginya sepanjang karier.

Dia memintas dua pemain dari Mesir, Salma Hany dan Amina Orfi yang masing-masing jatuh satu anak tangga kepada kedudukan ke-12 dan ke-13.

Ini adalah susulan kejayaan menakjubkan Sivasangari untuk muncul sebagai juara Kejohanan Skuasy Klasik London pada awal April.

Dalam kejohanan tersebut, anak kelahiran Kedah itu mengejutkan pemain nombor satu dunia, Nour El Sherbini pada peringkat suku akhir, sebelum mara hinggalah ke pusingan akhir sekali gus menumpaskan Hania El Hammamy yang merupakan pemain nombor dua dunia pada ketika itu.

Sivasangari turut menjadi pemain dari Malaysia yang pertama untuk merangkul kemenangan dalam jelajah bertaraf emas sejak Datuk Nicol David pada 2015 di Terbuka Hong Kong.