Ng Eain Yow mara ke perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Cleveland 2022 apabila menewaskan pemain dari Mexico, Leonel Cardenas, dengan straight set selama 28 minit.

Pilihan utama itu bermula pantas dalam set pertama apabila mendahului 5-1 sebelum Cardenas merapatkan jurang 6-4 tetapi setakat itulah saingan terbaik yang mampu disajikan pemain dari benua Amerika Tengah tersebut untuk Eain Yow menamatkan saingan set pertama 11-5.



Momentum itu diteruskan dalam set kedua apabila pemain berusia 24 tahun tersebut menang enam mata berturut-turut untuk mendahului 8-1 sebelum menutup set kedua 11-3.

Cardenas berkesempatan mendahului buat pertama kali dalam pertemua itu sebelum lima mata berturut-turut dipungut Eain Yow yang meletakkannya di hadapan 5-1.

Pemain berasal dari Kuala Lumpur tersebut terus mengungguli lawannya untuk sekali lagi menang 11-3 bagi menyekat laluan pencabarnya itu, sekali gus menempah pertemuan final dengan pilihan ketiga, Sebastien Bonmalai, awal pagi esok.