Perseorangan skuasy wanita negara, Rachel Arnold, dijangka berdepan laluan lebih sukar selepas melepasi rintangan pusingan pertama Kejohanan Tournament Of Champions dengan menumbangkan wakil Hong Kong, Tong Tsz-Wing.

Menurut jurulatih skuasy kebangsaan, Ajaz Azmat, biarpun Rachel perlu menewaskan pilihan kedua kejohanan untuk mara ke pusingan seterusnya, dia tetap yakin anak buahnya mampu memberi tentangan hebat di atas gelanggang.

Sementara itu, walaupun Ng Eain Yow berputih mata akibat tewas 0-3 ke atas Paul Coll dari New Zealand, Ajaz tetap berpuas hati dengan penampilan dan kerja keras pemain di ranking ke-19 dunia itu.

"Saya rasa mereka berdua telah melakukan yang baik. Lawannya bukan mudah. Namun, dia bermain dengan baik pada dua pertemuan sebelum ini.

"Persiapan daripada segi mental perlulah rapi tetapi Eain Yow kini akan menghabiskan pelajaran di kolejnya pada Jun ini dan selepas ini dia akan menjadi pemain profesional sepenuh masa.

"Rachel pula saya lihat dia seorang pemain hebat, memiliki potensi di dalam gelanggang dan saya yakin dia mampu memberi cabaran berterusan dalam kejohanan ini," kata Ajaz.