Juara dunia skuasy sebanyak lapan kali, Datuk Nicol David, mencongak peluang bagi pemain elit kebangsaan untuk meningkatkan prestasi dan berada dalam kelompok tertinggi bagi perebutan pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Memandangkan skuasy secara rasminya dipertandingkan dalam temasya edisi tersebut, bekas atlet kelahiran Pulau Pinang itu melihat dalam tempoh lima tahun lagi, pemain-pemain kebangsaan dijangka mampu berada di posisi untuk menggengam pingat buat pasukan negara.

"Pemain wanita negara ketika ini telah meraih pencapaian yang cukup bagus.

"S Sivasangari misalnya cemerlang dalam pendakian ranking dan beraksi dengan baik dalam beberapa kejohanan terakhir.




"Begitu juga pemain wanita seperti Aifa Azman, Aira Azman dan Rachel Arnold yang saling bersaing untuk meraih kedudukan pertama.

"Jadi ia boleh membantu meningkatkan kualiti sesama mereka dan Malaysia pula tiada masalah untuk menurunkan atlet terbaik," katanya.

Dalam perkembangan lain, tahap kesihatan bekas jaguh skuasy negara, Kenneth Low pula, difahamkan semakin teruk dan mengalami 'strok ringan' ketika bertugas di sebuah klinik.

Bagaimanapun, doktor yang merawatnya akan menjalankan ujian sampel darah bagi memastikan sama ada simptom tersebut adalah 'multiple sclerosis' -- penyakit berkaitan saraf -- atau strok.

Kenneth dijangka pulih sepenuhnya sekiranya mendapat rawatan mengikut masa yang ditetapkan dan pihak Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) akan membantu Kenneth untuk kembali sebagai seorang jurulatih sekiranya kesihatannya mengizinkan.

"Sampel darahnya akan dihantar Korea Selatan untuk ujian lanjut bagi menentukan penyakitnya.

"Dia boleh pulih cuma perlu rajin jalani proses pemulihan," kata Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin.