'Azeem macam tidak percaya.. dia terkejut dan tidak sangka di usia muda begini dia boleh dianugerahkan Anugerah PJK yang tentunya menjadi motivasi terbaik buatnya mencari slot ke Sukan olimpik Paris tahun depan,' kata Mohd Fahmi Tajuid, bapa kepada atlet kebangsaan itu.

Menurut Mohd Fahmi lagi, Azeem tidak akan pulang untuk menerima hadiah itu kerana sibuk meneruskan program latihan dan urusan pengajiannya di Universiti Auburn, Amerika Syarikat.

Pelari pecut sensasi negara, Azeem muncul antara atlet termuda yang menerima Anugerah PJK bersama dua lagi atlet Perak, pemenang dua gangsa Sukan Asia Hangzhou acara 400 meter dan 4x100 meter, Shereen Samson Vallabouy dan Muhammad Syafiq Puteh yang turut meraih gangsa di Hangzhou menerusi acara 3 meter papan anjal dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) iaitu Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-67 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.

Ketiga-tiga atlet tersebut adalah antara 33 penerima PJK yang akan dianugerahkan pingat yang tidak membawa gelaran itu dalam Istiadat penganugerahan bagi sesi kedua yang akan berlangsung pada 18 November ini di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.