'Azeem harta negara yang perlu dijaga sebaiknya', ia kata-kata yang keluar daripada mulut jurulatih Muhammad Azeem Fahmi, Ken Harden, sebaik melihat perwatakan luar biasa yang dibawa oleh atlet kelahiran Perak itu.

Azeem turun ke Bangkok dalam misi peribadi memastikan catatan bawah 10 saat namun ia tidak berlaku.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu seiring dalam menyenaraikan atlet di persada tertinggi seperti ini.

Dengan menghantar 30 atlet ke Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, ia merupakan jumlah penghantaran terbesar bagi kejohanan pendedahan seperti ini.

Ada rasa kecewa namun, hal itu mahu dibawa ke dalam dua kejohanan penting selepas ini iaitu Kejohanan Dunia di Budhapest dan Sukan Asia September depan.

Azeem gagal berselindung rasa kecewa di wajahnya selepas memastikan kedudukan lima terbaik Asia membuatkan Azeem tidak teragak-agak meletak janji buat seluruh rakyat Malaysia.

"Malaysia sudah lama tidak beraksi di pentas final Kejohanan Asia. Ini merupakan pencapaian yang baik buat saya dan negara. Selepas ini terdapat dua lagi kejohanan dan saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk mencapai sasaran," kata Azeem.

Azeem umpama harapan baru selepas kali terakhir Malaysia megah di podium peringkat Asia pada 2008 selepas Watson Nyambek berada di kedudukan kedua Kejohanan Olahraga Asia di Fukouka.

Sementara itu, Ken Harden bertegas Azeem hanya memerlukan sedikit masa sahaja lagi untuk capai sasaran peribadinya musim ini, malah dua kejohanan akan datang umpama medan seterusnya buat Azeem menebus kekecewaan di Bangkok.

"Setahun lalu, tiada sesiapa yang menyangka Azeem mampu ke final Kejohanan Remaja Dunia dan tahun ini, dia menempah slot ke final Kejohanan Asia," kata Harden.

"Jadi terdapat tekanan dan jangkaan yang tinggi terhadapnya malah dia menanganinya dengan baik sekali. "

Kecemerlangan Azeem menjadi tulang belakang kepada kuartet 4x100meter negara yang memiliki potensi andai terus mendapat pendedahan terbaik selepas kejayaan mereka membuka mata ramai pihak bermula di Sukan SEA Vietnam 2022.

Di Bangkok, keadaan berbeza merujuk kepada senarai pelari berbeza namun malaysia masih mampu menamatkan saingan 4x100meter dengan memperbaharui catatan terbaik iaitu 39.17s pada ranking keenam Asia.

Pemegang pingat gangsa lempar cakera lelaki, Irfan Shamsudin, memuji pendekatan baru KOM yang menghantar seramai 30 atlet negara beraksi di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok kali ini.

Tegas Irfan, jika mahu melihat peningkatan ketara, ini yang perlu dilakukan oleh persatuan yang benar-benar mementingkan kemajuan sukan olahraga.

Untuk rekod, Irfan satu-satunya atlet negara yang naik ke podium dalam Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok kali ini.