Permata baru sukan olahraga negara, Azeem Fahmi, hanya menunggu masa untuk meraih detik emas tersendiri.

Ini selepas kejayaan pelari berusia 19 tahun itu menamatkan kemarau 41 tahun negara untuk meraih pingat acara 100 meter lelaki dalam Sukan Asia.

Azeem membuktikan dia mampu menjadi sandaran negara dalam acara reben biru itu apabila meraih pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 dengan catatan 10.11 saat, sekali gus menyambung legasi gemilang yang terlebih dahulu digarap dua pelari legenda negara, Tan Sri Dr. M. Jegathesan dan Rabuan Pit.

Malah, ketua jurulatih skuad olahraga negara, Poad Kassim, percaya tidak mustahil untuk Azeem memecahkan rekod kebangsaan, 10.09 saat, yang terlebih dahulu dilakukannya dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia tahun lalu.

"Azeem seorang yang memiliki tahap keyakinan yang amat tinggi, dia juga sentiasa berfikiran positif," kata Poad kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.

"Sejak dari bangku sekolah lagi, saya dapat lihat di amat bagus sewaktu latihan dan dia juga dapat menyesuaikan diri dengan cepat dengan corak latihan di Amerika Syarikat ketika ini.

"Saya dapat rasakan dia akan terus memperbaiki catatan masanya pada masa akan datang," katanya.