Jaguh pecut negara, Azeem Fahmi, memulakan musim baru dengan meraih satu pingat emas dan gangsa dalam Kejohanan Jemputan Yellow Jacket di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat awal pagi tadi.

Menurut laman web live.pttiming.com, Azeem, yang mewakili Universiti Auburn, menduduki tangga ketiga acara 100m lelaki dengan catatan 10.38s untuk meraih gangsa.

Dia kemudian mendapatkan pingat emas acara 4x100m lelaki dengan catatan masa 38.74s menerusi kuartet yang turut dibarisi Charamba, Ajayi dan Dario Matau.

Kejohanan itu merupakan pertandingan luar dewan pertama disertai Azeem tahun ini selepas beraksi dalam beberapa kejohanan dalam dewan di Amerika Syarikat sejak Januari lalu.

Sebagai rekod, Azeem merupakan pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.11s, yang dilakukannya dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pada 2022.

Dia yang akan berusia 20 tahun bulan depan, perlu melakukan catatan 10s untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris pada Julai depan.