Pelari pecut sensasi negara, Azeem Fahmi, enggan terbuai dengan kejayaan meraih pingat gangsa dalam Sukan Asia Hangzhou 2022.

Bahkan, dia kini terdesak untuk menjadi pelari pertama dari Asia Tenggara merekodkan catatan masa bawah 10 saat, sekali gus menempah slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Azeem mencipta sensasi dalam acara reben biru itu apabila meraih pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou dengan catatan 10.11 saat, sekali gus menyambung legasi gemilang yang terlebih dahulu digarap dua pelari legenda negara, Tan Sri Dr. M. Jegathesan dan Rabuan Pit.

Dia juga merupakan pemegang rekod kebangsaan dalam acara itu dengan catatan 10.09 yang dilakukannya dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pada tahun lalu.

Dalam satu temu bual dengan wartawan Astro Arena, Karl Nunis, Azeem berkata: "Buat masa ini, saya mengambilnya sebagai satu pujian.

"Tetapi saya masih belum berpuas hati dengan larian saya kerana masih banyak yang saya boleh perbaiki, terutama pada awal dan penghujung perlumbaan.

"Masih ada banyak ruang untuk diperbaiki dan sasaran saya kini adalah untuk layak ke Sukan Olimpik secara merit.

"Kelayakan ke Sukan Olimpik adalah 10 saat, jadi saya akan berusaha sehabis baik untuk menjadi atlet olahraga pertama kembali layak ke Sukan Olimpik secara merit," katanya.