Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh, berpuas hati apabila pemainnya bangkit daripada kekalahan lalu untuk mencatatkan kemenangan besar 9-2 ke atas Kelab Hoki Monchengladbach dalam aksi persahabatan Siri Jelajah Eropah di Jerman sebentar tadi.

Selepas dibelasah Jerman 1-10 kelmarin, The Speedy Tigers tidak mudah patah semangat untuk membenam cabaran Monchengladbach dengan Faizal Saari muncul pemain paling cemerlang dengan empat gol.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Sarjit berkata: "Pemain bermain dengan baik hari ini. Mereka bergerak sebagai satu unit dan ada percaturan baru yang dilakukan. Walaupun tewas besar perlawanan lalu, pemain bangkit hari ini.

"Dua perlawanan di Jerman merupakan perlawanan yang sangat baik. Kami dapat kenal pasti tahap kemampuan pemain kami, terutama ketika berhadapan dengan Jerman.

"Intensiti perlawanan yang sangat tinggi dan kami sedar perlawanan sebegini mampu meningkatkan tahap permainan pasukan kebangsaan.

"Perkara positif yang dapat dilihat adalah karekter pemain yang tidak patah semangat walaupun tewas dengan jaringan besar ketika bertemu Jerman. Bukan mudah untuk bangkit.

"Pasukan sedar dua perlawanan lagi sangat sukar untuk pemain tetapi ini peluang terbaik untuk kami bermain dengan pasukan yang sangat berkualiti. Mereka perlu mengambil peluang untuk meningkatkan kemahiran, fizikal dan pemahaman konsep permainan di peringkat antarabangsa. Kami mahu mereka belajar dan matang secepat yang mungkin, terutama pemain muda," katanya.

Selepas ini, skuad negara akan ke Belanda bagi dua perlawanan terakhir bertemu pasukan Belanda dan India.