Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh, menuntut agar pemainnya segera mempamerkan prestasi konsisten bagi memastikan matlamat untuk memburu tiket ke separuh akhir sekali gus meraih podium Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Mongolia tercapai.

Bagi Sarjit, kehadiran trio tonggak utama skuad negara iaitu The "Saari Brothers' iaitu Faizal Saari dan Fitri Saari serta kapten, Marhan Jalil mampu memberikan cabaran kepada pemain lain untuk sampai ke tahap prestasi tertinggi.

Skuad The Speedy Tigers bakal membuka saingan menentang Pakistan pada Ahad ini dalam saingan liga sepusingan dan perlu bermula dengan prestasi terbaik bagi memastikan sasarannya tercapai.





"Sebelum hadir ke ACT, selepas kami pulang dari Eropah dari tempoh lima ke enam minggu aspek fizikal semakin baik.

"Untuk kami dalam kejohanan ini semestinya kami ingin beraksi dengan baik, serta menamatkan kedudukan di podium. Paling penting adalah untuk tidak bolos pada suku ketiga dan keempat kerana sebelum ini kami banyak bolos dari aspek itu.

"Kejohanan ini kami pilih pemain yang terbaik, kami telah beri peluang kepada beberapa pemain dan kami harap pemain ini akan berikan aksi terbaik.

"Kami membina pasukan berdasarkan tiga pemain iaitu Faizal, Fitri dan Marhan. Kami cuba membina pasukan untuk berada di tahap prestasi sebenar mereka.

"Kami perlu lebih ramai pemain baru untuk beraksi di prestasi terbaik seperti mereka." katanya kepada Nadi Arena.