Pemain utama skuad hoki negara, Syed Syafiq Syed Cholan, sah tidak akan dapat bersama pasukan untuk beraksi di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Mongolia yang akan bermula 8 hingga 17 September ini atas urusan peribadi.

"Mungkin orang tertanya kerana masih muda, tetapi kali ini saya mempunyai tugasan oleh majikan saya jadi saya perlu bersifat adil. Fokus saya ketika ini adalah kerja, saya tetap berbesar hati jika dapat kembali ke pasukan jika diberikan peluang untuk kembali." kata Syed Syafiq Syed Cholan kepada Nadi Arena.

Dengan kehilangan itu juga semestinya akan menambah kegusaran buat ketua jurulatih hoki negara, Sarjit Singh, dalam usaha membentuk pasukan terbaik tanpa kehadiran pemain berpengalaman itu.





Menurutnya, usaha untuk mendapatkan pemain itu sudah dibuat hingga ke saat akhir namun tidak berhasil walaupun Syafiq sudah mula menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan sejak awal lagi.

"Dia berlatih bersama kami tetapi semalam dia menghantar surat untuk pengunduran.

"Dia merupakan pemain yang berada dalam perancangan kami sejak awal dan dia pemain yang bagus serta pasukan perlukan dia tetapi kami tidak boleh melakukan banyak perkara jika pemain ingin berundur. Itu pilihan dia.

"Dia bermain baik, kami kehilangan dia." kata Sarjit Singh