Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh, percaya pasukannya mampu mencapai sasaran mengisi kelompok empat pasukan terbaik di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024, meskipun berdepan cabaran berliku antaranya juara bertahan India, Pakistan, Korea Selatan, China serta Jepun.

Sarjit beranggapan 19 pemain yang dibawa ke Inner Mongolia pada edisi kali ini adalah yang terbaik berdasarkan prestasi semasa,, sambil mengharapkan kelibat empat pemain senior seperti Faizal Saari, Fitri Saari, Faiz Helmi Jali dan kapten Muhammad Marhan Jalil mampu memacu The Speedy Tigers mencapai misi yang disasarkan.






Malaysia dijadualkan berdepan Pakistan dalam aksi pembukaan pada Ahad jam 3.45 petang waktu Malaysia.

Untuk rekod, kejohanan ACT bakal menjadi tugasan ketiga buat Sarjit sejak dilantik selaku pengendali pada Mac lalu, selepas Piala Sultan Azlan Shah dan Kejohanan Piala Negara-Negara pada Jun lalu.

"Dua kejohanan terakhir kami banyak bolos pada suku ketiga dan keempat tetapi kali ini kami perbaiki untuk tidak bolos pada waktu itu.

"Saya berharap kejohanan kali ini kami tidak bolos pada saat akhir. Memandangkan Pakistan juga banyak pemain muda jadi kami akan berikan saingan yang baik, terutama buat pemain untuk beraksi dengan baik.

"Jika kami beraksi dalam lebih banyak perlawanan, aksi kami akan lebih baik." katanya kepada Nadi Arena.