"Ada perkara kita boleh kawal, ada perkara kita tidak boleh kawal. Sesuatu perlu dilakukan."

Itulah rumusan semasa bagi isu yang melanda sukan terjun negara buat masa ini.

Kenyataan Nur Dhabitah Sabri kelmarin, yang kecewa dengan kehilangan khidmat jurulatihnya dari Australia, Christian Brooker, sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasi merosot sukan itu untuk menambah lagi slot kelayakkan di Sukan Olimpik Paris.

Nadi Arena mendapatkan reaksi dari jurulatih kelahiran Australia itu dan inilah kenyataan darinya mengenai isu ini, "Mereka (Dhabitah dan rakan-rakan) ada meminta saya pulang ke Malaysia tetapi nampaknya seperti sukar kerana kini saya sangat gembira untuk berada di Australia.

"Saya suka akan pekerjaan saya di sini, saya sudah membeli rumah dan kini saya mempunyai seekor anjing untuk dijaga dan situasi ini membuatkan saya sukar untuk kembali.

"Saya pernah baca dalam salah satu akhbar di Malaysia baru-baru ini bahawa seseorang berkata bahawa ia akan mengambil masa seperti empat tahun untuk menghidupkan semula sukan ini (sukan terjun), dan saya tidak bersetuju dengan kenyataan ini.




"Sebenarnya ia akan mengambil masa yang lebih lama dan tidak seperti yang diutarakan olehnya dan bagi saya sendiri ianya tidak logik mengambil masa empat tahun untuk mencipta mahupun membangunkan seseorang atlet, namun ia mengambil masa dalam 10 hingga 15 tahun untuk mencipta mahupun membangunkan seseorang atlet.

"Jadi jika anda ingin mempunyai program yang boleh berkembang maju semula seperti lima ke enam tahun yang lalu anda semestinya memerlukan kesabaran yang tinggi, perlu melaksanakan beberapa sistem dan proses yang sangat baik untuk bangunkan perkara ini dan pastinya bagi saya ia akan mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk perkara ini berhasil."