100 hari menjelang temasya Sukan Olimpik Paris, kem negara sedia menambah jumlah atlet yang akan menyertai kejohanan itu dengan pengesahan secara rasmi melibatkan sukan basikal trek serta badminton.

Pelumba basikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati, dijangka mengikut jejak Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom ke Paris selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam acara keirin Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), di Milton, Kanada.

Manakala bagi sukan olahraga dan renang, tiket 'wildcard' bakal ditawarkan sekiranya tiada atlet yang berjaya melepasi syarat kelayakan.

Justeru, raja pecut kebangsaan, Mohd Azeem Fahmi, serta ratu 400 meter, Shereen Samson Vallabouy akan menjadi pilihan ke Paris.

Selain itu, sukan renang yang mengalami perubahan sistem slot merit, menyaksikan pemegang rekod kebangsaan jadi keutamaan, Khiew Hoe Yean.

"Kita sedang menunggu peraturan dan regulasi yang baru dari sukan renang, jadi kita akan lihat perenang yang terbaik untuk menjadi wakil negara," kata Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib.