Meskipun ada yang menganggap hasrat jurulatih badminton campuran negara, Nova Widianto, di Sukan Olimpik Paris sebagai terlalu tinggi, Chen Tang Jie, pula sedia menyahut cabaran itu.

Menurut Tang Jie, dia sendiri tidak mahu menunggu terlalu lama untuk menuai hasil di Sukan Olimpik, selain melihat pentas tersebut bukan sekadar untuk membuat penampilan pertama, tetapi keutamaan adalah membawa pulang kejayaan.

"Kami mempunyai sasaran yang lebih tinggi selepas layak ke Sukan Olimpik ini dan saya berpendapat semua atlet memasang impian yang sama untuk membawa kejayaan.

"Saya akan mencuba dengan sehabis baik dan berterima kasih kepada semua yang memberi sokongan semasa latihan," kata Chen Tang Jie.

Dalam masa yang sama, bekas ahli jawatankuasa kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Norbakti Alias, menganggap sasaran Nova sebagai berani tapi relevan.

Norbakti ada pendapat tersendiri mengapa pasangan ini mampu mencuri slot podium di Paris nanti. Berdasarkan rekod sebelum ini, mereka pernah menewaskan tujuh pasangan yang menghuni ranking lebih tinggi dari mereka.

"Beregu campuran negara ini sudah pernah mengalahkan tujuh pasangan ranking lebih tinggi dari mereka," kata Norbakti Alias.