Barisan pemain di bawah payung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima antara peruntukan terbanyak Program Road To Gold (RTG) sepanjang 2023 dengan jumlah lebih RM1,182 juta daripada jumlah keseluruhan RM3.53 juta.

Jumlah penerima kedua terbanyak pula ialah para pemain badminton profesional berjumlah RM1,068 juta.

Koordinator Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, semua perbelanjaan itu digunakan untuk lima jenis sukan bagi membantu atlet menerusi program khas menuju Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau berkata, ia sebagai persediaan buat mereka untuk memburu pingat emas sulung buat negara.

Tambahnya, turut menerima peruntukan tersebut ialah skuad hoki, angkat berat, terjun dan berbasikal.

"Pecahan perbelanjaan itu adalah atlet terjun, mereka menerima peruntukan RM458,177.45, berbasikal RM465,239.66 dan angkat berat RM20, 025.44.

"Skuad hoki pula menerima RM342, 903.62," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Program RTG di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Khamis.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Mesyuarat itu turut memutuskan dua penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri digugurkan daripada Program RTG.

Ia susulan kegagalan mereka meraih slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha baru-baru ini.

Dalam pada itu, Bertrand Rhodict Lises yang menjadi wakil tunggal dari sukan terjun disenaraikan dalam Program RTG.

Senarai terbaharu RTG menyaksikan seramai 13 atlet berada dalam program tersebut.

Skuad badminton muncul atlet teramai melibatkan Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin Teo Ee Yi, Pearly Tan, M Thinaah, Ng Tze Yong, Chen Tang Jie dan Toh Eei Wei.

Turut kekal dalam senarai ialah dari sukan berbasikal iaitu Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Mohammad Aniq Kasdan (angkat berat) dan Rhodict (terjun).-Sinar