Pengurus Kejohanan FIH, Brian Bernandez menjelaskan penganjuran Piala Dunia Remaja kali ini merupakan suatu yang istimewa berbanding sebelum ini.

Ditambah dengan beberapa penambahbaikan daripada segi teknologi, dan pengubahsuaian yang dilakukan terhadap setiap penjuru padang, ia menampakkan kesungguhan Malaysia dalam penganjuran peringkat dunia.

"Penganjuran kali ini menyaksikan penambah baikan daripada sudut teknologi, ia cukup berbeza berbanding sebelum ini. Ini adalah penganjuran kejohanan bertaraf Piala Dunia jadi kami perlu melakukan yang terbaik," katanya.

Bagi Pengarah Kejohanan FIH, Gabrielle van Zwieten, keunikan budaya di Malaysia dianggap antara tarikan penganjuran Piala Dunia kali ini.

Biarpun Malaysia negara yang kecil, namun persiapan rapi telah dilakukan daripada segi fasiliti dan peraturan yang dilihat mampu memastikan Malaysia lebih dikenali di mata dunia.

"Kami kembali Malaysia dalam saingan Kejohanan Dunia. Menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah cukup baik buat barisan pemain muda dari seluruh dunia beraksi di pentas sebagai persiapan mereka menghadapi karier yang lebih panjang pada masa akan datang."