Malaysia akur gagal meraih tiket ke suku akhir Piala Dunia Hoki Remaja 2023 selepas mengalami kekalahan 2-5 kepada Australia dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Kekalahan itu menyaksikan The Young Tigers kekal menghuni tangga ketiga Kumpulan A dengan mengutip tiga mata, sekali gus gagal melayakkan diri ke suku akhir.

Sebaliknya, Australia mengiringi juara Kumpulan A, Argentina, untuk lolos ke kelompok lapan terbaik apabila berada di tangga kedua dengan merekodkan enam mata.

“Kami tak salahkan sesiapa atas kekalahan hari ini (Jumaat). Kami ambil tanggungjawab dan kekalahan dengan (hati) terbuka tetapi ini juga proses yang perlu dilalui pasukan.

“Kami terkeluar daripada suku akhir. Misi kami seterusnya adalah menamatkan saingan di tangga kesembilan dalam kejohanan ini,” kata pengendali Malaysia, Muhammad Amin Rahim, dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Turun dengan misi ‘hidup mati’ berdepan Australia bagi memburu tiket suku akhir, Malaysia ternyata gagal menyaingi corak permainan pantas lawan itu sepanjang 60 minit perlawanan.

Dalam aksi suku pertama, gawang Young Tigers dibolosi tiga kali apabila Australia memperoleh gol menerusi Cooper Burns seawal minit kedua, Jake Lambeth (6) dan Cambell Geddes (15).

Tersentak dengan tiga gol Australia, Malaysia bangkit dalam aksi suku kedua sebelum memperoleh jaringan sulung menerusi gol padang Harris Osman pada minit ke-21.

Begitupun, Australia kembali menekan anak-anak buah Muhammad Amin apabila menambah gol keempat hasil jaringan Lambeth pada minit ke-27.

Shafiq Ikhmal Daniel kembali menceriakan penyokong Malaysia apabila menyumbat gol kedua Young Tigers pada minit ke-44 sebelum Australia menokok gol kelima menerusi Geddes seminit kemudian.

“Dua minit pertama, mereka (Australia) sudah menjaringkan gol. Keputusan 0-3 dalam suku pertama membuatkan pasukan secara moralnya agak menurun.

“Namun, kami tak boleh salahkan sesiapa. Kami patut salahkan diri kami kerana kami sendiri buat kesilapan itu (dengan) membenarkan Australia masuk dan menjaringkan gol.

“Sebagai pasukan dan individu, pemain perlu mengambil tanggungjawab untuk memastikan setiap minit di atas padang melakukan perkara yang betul,” katanya.

Malaysia akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi kesembilan/16 menentang pasukan di tangga tercorot Kumpulan B, Mesir pada Isnin ini.

--Sinar Harian