Juara enam kali Piala Dunia Hoki Remaja, Jerman enggan menganggap pencapaian lalu sebagai kayu pengukur di kejohanan kali ini.

Pengendali pasukan, Rein van Eijk melihat kesemua pasukan memiliki peluang seimbang untuk melepasi peringkat kumpulan.

Mengulas aksi perlawanan pertama berdepan Afrika Selatan esok, biarpun rekod menunjukkan ia merupakan perlawanan mudah, namun segala-galanya bergantung kepada prestasi pemain pada hari perlawanan.

"Saya melihat peringkat kumpulan kami memiliki barisan pasukan yang berpengalaman," katanya menerusi Nadi Arena.

"Saya berasakan saingan sukar menanti kami dan tidak sabar untuk turun beraksi dalam saingan ini."

Kapten skuad jerman, Matteo Poljaric, pula melihat keserasian bersama rakan sepasukan semakin baik dan menjangkakan keputusan positif mampu diraih bagi melepasi setiap lawan pada peringkat kumpulan.

"Saya berasakan kami perlu menikmati kejohanan ini. Menunjukkan kami mampu beraksi sebagai satu pasukan di atas gelanggang kerana ia akan membantu kami untuk mencapai tahap terbaik."