Pengurus Bayern Munich, Thomas Tuchel, memberi amaran kepada pemainnya agar mengambil pendekatan fizikal untuk mengimbangi saingan seteru Bundesliga, Bochum.

Bayern kembali ke kancah domestik hari ini selepas membuka kempen Liga Juara-Juara (UCL) dengan kemenangan 4-3 ke atas Manchester United di pertengahan minggu ini.

Juara bertahan itu belum tumpas dalam liga setakat ini dengan merakamkan tiga rentetan kemenangan selain diikat 2-2 oleh Bayer Leverkusen di tempat sendiri -- keputusan yang menyaksikan kedua-dua pasukan hanya dipisahkan di tangga teratas dengan perbezaan gol.

Bochum dibelasah 0-5 di Stuttgart pada hari pembukaan tetapi mencatat keputusan seri dalam tiga perlawanan terakhir, lantas Tuchel tidak mengambil mudah sebelum sepak mula di Allianz Arena itu.

“Kami perlu menghormati pihak lawan,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.



“Bochum berada dalam prestasi yang baik, tiga perlawanan tanpa kekalahan dan sepatutnya begitulah.

“Mereka mempunyai gaya permainan yang sangat sengit. Kami memerlukan barisan terbaik kami untuk perlawanan ini. Kami pasti dihalang daripada memperagakan rentak sebenar dengan sewenang-wenangnnya.

"Kami perlu bersedia dan terlibat secara fizikal. Akan berlaku sejumlah besar situasi memecut dan terjahan.

“Semua pemain cergas selepas bertemu Man United. Saya fikir semua pemain bersedia. Kami tidak akan melakukan rombakan demi penggiliran pemain."