Pengurus Bayern Munich, Thomas Tuchel, tidak akan menolak sebarang kemungkinan untuk mempertaruhkan ketua pasukan England, Harry Kane, apabila kelab Bavaria itu bertandang ke Saarbrucken untuk pertembungan DFB-Pokal, awal pagi esok.

Hujan lebat telah mengancam perlawanan pusingan kedua tetapi buat masa ini, ia akan berlangsung seperti biasa buat anak buahnya selepas membelasah Darmstadt, 8-0, hujung lalu yang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan dalam separuh masa pertama sementara setiap gol diledak dalam babak kedua.

Tiga daripada jaringan itu disumbangkan oleh Kane, yang melakar hatrik kedua Bundesliga untuk mengumpul 12 gol daripada sembilan perlawanan liga, malah sesetengah pihak menjangkakan pertemuan dengan divisyen tiga, Die Molschder, itu mungkin menjadi ruang buat penggempur 30 tahun tersebut.

Tuchel berkata: “Saya fikir lebih-lebih lagi Harry merupakan salah seorang yang kerap diturunkan dan beraksi sepanjang 90 minit tetapi dia sentiasa menunjukkan kecergasan yang tinggi sepanjang perlawanan yang membabitkannya. Seseorang yang bertenaga dan kerap beraksi.

“Oleh itu, kami belum memuktamadkan perancangan. Kami akan menjalani satu lagi sesi latihan dan kami perlu mendapatkan reaksi daripada beberapa pemain yang telah banyak beraksi kebelakangan ini.




“Semua orang mahu beraksi berturut-turut dan saya fikir kami tidak perlu terlalu fokus atau terlalu memikirkannya. Ia sentiasa seimbang.

"Kami tidak mahu memberi sesiapa perasaan bahawa aksi hujung minggu akan menjadi lebih penting daripada esok."