Thomas Tuchel mengakui Bayern Munich sudah terkeluar daripada perebutan kejuaraan Bundesliga selepas kekalahan 2-0 dalam aksi Der Klassiker menyebabkan mereka ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu liga, Bayer Leverkusen.

Karim Adeyemi menjaringkan gol awal sebelum Julian Ryerson memastikan kemenangan 2-0 untuk Borussia Dortmund, yang pertama di Allianz Arena sejak 2014, ketika usaha Bayern untuk kejuaraan liga ke-12 berturut-turut seakan punah.

Bagi Tuchel, yang akan meninggalkan kelab gergasi Bavaria itu pada penghujung musim, perkara itu telah pun diselesaikan. Apabila ditanya sama ada mereka terkeluar daripada perebutan takhta liga, dia memberitahu Sky, “Jelas sekali, ya.

“Selepas perlawanan ini tidak perlu lagi mengira mata. Berapa jumlahnya sekarang? Tahniah kepada Leverkusen.”

Bayern Munich kini ketinggalan 13 mata sekaligus menyaksikan dominasi mereka bakal berakhir selepas lebih sedekad dalam kancah bola sepak Jerman.