Carlo Ancelotti memiliki pengalaman dan kualiti untuk membantu Brazil menawan Piala Dunia keenam, menurut bekas pemain tengah skuad Selecao, Lucas Leiva.

Ancelotti dilaporkan akan menjadi ketua jurulatih baru Brazil di penghujung musim 2023-24 sebaik kontraknya di Real Madrid tamat, di mana dia telah menikmati karier yang gemilang dengan memenangi sepasang gelaran Liga Juara-Juara (UCL) dalam tempoh dua musim bersama kelab itu.

Sementara itu, Brazil mahu bangkit daripada kekecewaan Piala Dunia di Qatar yang menyaksikan mereka tersingkir menerusi sepakan penalti kepada Croatia di peringkat suku akhir, secara tidak langsung memadam sebarang harapan mereka untuk menjulang trofi berprestij itu buat kali keenam yang mendorong Tite meletakkan jawatan.

Sudah 21 tahun sejak kali terakhir skuad Selecao memenangi Piala Dunia tetapi Lucas percaya pelantikan Ancelotti adalah langkah yang tepat untuk membawa trofi idaman berkenaan dalam edisi seterusnya pada 2026.

"Ini kali pertama seorang pengurus luar mengemudi pasukan kebangsaan kami," kata Lucas.



"Ia mengujakan kerana dia seorang juara, dia sudah memenangi segala-galanya. Ke mana sahaja dia pergi, dia pasti berjaya.

“Kami menaruh harapan untuk melihatnya mencurahkan pengalaman dan kualitinya bersama pasukan kebangsaan kerana kami mahu memenangi Piala Dunia buat sekian kalinya.

“Kini sebagai seorang peminat, saya akan berharap Ancelotti melakukan tugas yang hebat kerana di penghujung hari, kami mahu Brazil menang dan jika dia boleh membawa pengalaman dan kualiti serta pengetahuannya tentang bola sepak ke Brazil, bukan sahaja pasukan kebangsaan malah negara sekalipun saya fikir ia akan menjadi sesuatu yang hebat.”