Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, menegaskan dia tidak mempunyai "kebebasan bersuara" untuk bercakap mengenai pengadil tatkala mempersiapkan pasukannya untuk menghadapi perlawanan Kumpulan C, Liga Juara-Juara (UCL) bertemu Sporting Braga, awal pagi esok.

Ancelotti menerpa ke arah pengadil, Ricardo de Burgos Bengoetxea, selepas perlawanan di Sevilla hujung minggu sebelum mengakui melalui saluran media rasmi kelabnya itu bahawa dia menggunakan perkataan"ironi" apabila disoal mengenai pegawai perlawanan.

Dalam sidang media pra-perlawanan yang didominasi soalan mengenai mutu pengadilan, Ancelotti menolak untuk bercakap soal ketua pengadil Sepanyol, Pedro Rocha, sambil melabel pengadil di negara itu adalah yang terbaik di dunia.

Ancelotti berkata: “Jika anda bertanya kepada saya siapakan pemain terbaik di dunia, saya pasti akan katakan pemain Real Madrid. Terdapat beberapa pengadil yang sangat baik yang berpengalaman luas dan ada juga yang perlu diperbaiki.

“Anda sedar bukan bahawa saya tidak mempunyai kebebasan bersuara apabila bercakap mengenai pengadil? Jika saya menyatakan apa yang terlintas di fikiran saya ketika ini, saya pasti akan digantung kerja tetapi saya masih mahu bekerja dan memanfaatkan sepenuhnya perlawanan yang mengujakan saya. Saya tidak dapat menjawab soalan sebegini.”




Ancelotti berkata tumpuan barisannya sama sekali tidak akan terganggu dengan pertembungan El Clasico menentang Barcelona minggu depan memandangkan misi utama mereka ketika ini ialah memenangi kemenangan berturut-turut peringkat kumpulan UCL.

“Kami tidak pernah bercakap tentang perlawanan seterusnya yang kami perlu hadapi dalam saingan liga, kami fokus dan terus berdedikasi untuk perlawanan terdekat,” tambah pengurus berbangsa Itali itu.

"Pemain memanfaatkan rehat yang diberikan dan pulih dengan baik untuk mengembalikan kekuatan menjelang perlawanan esok, ia merupakan yang paling penting pada masa ini."

Real sekali lagi akan berjuang tanpa Thibaut Courtois dan Eder Militao tetapi David Alaba dijangka kembali membarisi skuad, manakala Nacho yang sedang menjalani penggantungan domestik turut tersenarai.