Carlo Ancelotti dilaporkan telah menyaman bekas kelabnya, Everton, berdasarkan rekod mahkamah yang didedahkan.

Senarai kes mahkamah atas talian mendapati Ancelotti, yang kini mengendalikan pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid, telah mengambil tindakan ke atas kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Mahkamah Tinggi.

Dakwaan itu telah difailkan di mahkamah komersial, iaitu sebahagian daripada Mahkamah Tinggi di London dan ia dikaitkan dengan “kontrak dan pengaturan komersial am”.

Kes itu disenaraikan sebagai Ancelotti v Everton Football Club Company Limited dan tiada sebarang butiran lanjut didedahkan.

Sebagai rekod, pengurus berbangsa Itali berusia 64 tahun itu menguruskan Everton dari Disember 2019 hingga Jun 2021 sebelum meninggalkannya untuk menjadi ketua jurulatih Madrid.