Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, telah menyelesaikan kes Mahkamah Tinggi yang didakwanya ke atas Everton.

Ketua jurulatih berbangsa Itali itu, yang menghabiskan tempoh 18 bulan di Goodison Park dari Disember 2019 hingga Jun 2021, menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat 12 dan ke 10 sebelum memilih untuk kembali ke Santiago Bernabeu.

Dia sebelum ini dilaporkan membuka kes mahkamah ke atas Everton yang dilabel sebagai “kontrak dan pengaturan komersial am”.

Hanya terdapat sedikit butiran mengenai dakwaan itu secara spesifik tetapi ia kini sudahpun diselesaikan.

"Carlo Ancelotti dan Kelab Bolasepak Everton telah mencapai penyelesaian yang baik terhadap pertikaian sesama mereka," kata John Mehrzad KC dalam satu kenyataan selaku wakil kepada pengendali Madrid itu.

"Carlo memiliki rasa hormat yang berkekalan dan kasih sayang yang mendalam buat seluruh penyokong kelab itu dan mendoakan yang terbaik buat mereka dan masa depan kelab itu."