Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, tidak tertarik untuk memikirkan bahawa Jude Bellingham merupakan pemain tengah terbaik dunia ketika ini.

Bellingham, 20, menjaringkan gol kelapannya dalam lapan penampilan untuk Madrid sewaktu mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Girona pada Sabtu lalu.

Dia juga menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Union Berlin dua minggu lalu dan pasti ingin mengekalkan prestasi terbaiknya buat Real Madrid menjelang pertemuan dengan pesaing terhebat kumpulan C, Napoli, dalam aksi UCL awal pagi esok.

Ancelotti berkata dalam sidang media: "Saya berasakan Bellingham sudah menyesuaikan diri dengan sangat baik bersama pasukan barunya. Dia melakukannya dengan sangat baik dan menunjukkan segala kualitinya.

"Jika ada yang fikir dia adalah yang terbaik di dunia, bagus. Saya fikir kami mempunyai pasukan terbaik di dunia," katanya

Ancellotti faham dengan situasi yang sedang dihadapinya ketika ini, di mana dia diletakkan harapan besar oleh pasukan itu, yang pernah memecatnya selepas 18 bulan menjadi pengurus pada 2019.

“Kembali ke sini membuatkan saya teringat zaman saya tinggal di sini. Di bandar yang indah ini,” tambah Ancelotti.

“Ada detik yang manis, ada juga yang kurang manis tetapi pengalaman itu positif.

"Ini perlawanan yang paling sukar buat kami dalam kumpulan ini tapi realitinya, kami sudah biasa. Seragam Real Madrid yang berat buat kami juga akan menjadi berat buat lawan kami," tambahnya.

Napoli, yang menumpaskan Braga 2-1 di Portugal dalam perlawanan pertama, sedang berada di tangga ketiga Serie A dengan empat mata di belakang Inter Milan dan AC Milan.