CELTA VIGO 0 REAL MADRID 1

Rodrygo nyaris dijadikan kambing hitam jika bukan Jude Bellingham memastikan kemenangan tipis 1-0 Real Madrid ke atas Celta Vigo, awal pagi tadi.


Pelawat berdepan ranjau di Balaidos dengan kecederaan bintang Brazil, Vinicius Jr, memaksa pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, membuat pertukaran awal gara-gara masalah kaki.

Namun, sebelum gol kemenangan LaLiga itu dicetak pada minit ke-81, Rodrygo memenangi sepakan penalti tetapi penjaga gol Celta, Ivan Villar, menebus kesilapannya dengan satu terpaan tepat.

“Mereka bebas memilih penendangnya. Saya tidak pasti apa yang berlaku, Luka (Modric) sepatutnya mengambilnya dan saya tidak tahu apa yang berlaku," kata Ancelotti selepas perlawanan.



"Pemain yang sepatut bertanggungjawab ialah Vini tetapi dia tiada di sana. Sebaliknya mereka memilih Rodrygo dan saya tidak mempunyai masa untuk mengatakan bahawa Modric yang patut melakukannya.

"Memang wajar kalau saya berasa sedikit marah. Sukar untuk berkomunikasi ketika itu.

"Saya sempat berpesan kepada Fede (Federico Valverde) tetapi kami kesuntukan masa. Kami akan membincangkannya dalam beberapa hari akan datang."