Ronald Koeman bercadang untuk menerapkan corak permainan yang lebih menyerang dalam kem Belanda berbanding pendekatan pengurus terdahulu, Louis van Gaal.

Skuad Oranje mara ke suku akhir Piala Dunia di Qatar di bawah kendalian Van Gaal tetapi menerima kritikan hebat berikutan mempamerkan gaya permainan yang dianggap negatif.

Barisan pertahanan lima pemain terbukti menjadi tunjang mereka apabila bolos hanya dua kali dalam empat perlawanan pertama kejohanan, tetapi peminat menuntut persembahan yang lebih kreatif dengan kelibat bintang seperti Memphis Depay dan Cody Gakpo.

Perjuangan Belanda di Qatar berakhir di tangan Argentina menerusi penentuan sepakan penalti biarpun sempat memadam defisit dua gol, sekali gus mengakhir tempoh kendalian ketiga Van Gaal bersama pasukan kebangsaannya.

Begitupun, pendekatan serupa tidak akan diguna pakai di bawah era Koeman yang merancang untuk kembali memperkenalkan barisan empat pertahanan yang pernah digunakannya ketika menggalas jawatan itu dari 2018-2020.

“Secara prinsipnya, kami akan kembali kepada sistem yang pernah kami mainkan sebelum ini,” katanya.


“Kadang-kadang saya juga menukar sistem tetapi kami akan membentuk asas dengan empat pemain pertahanan.

"Akhirnya, ini semua tentang pelaksanaan sistem. Saya juga menurunkan lima pertahanan di Barcelona termasuk tiga pertahanan tengah dan ia berjalan dengan baik.

"Semuanya berkisar tentang: meletakkan tekanan tinggi atau membiarkan diri anda tenggelam. Langkah ini yang akan menentukan sama ada sistem ini bercorak menyerang atau tidak."