Barca memecat Ronald Koeman susulan kekalahan 0-1 kepada Rayo Vallecano awal pagi semalam, yang kini mengakibatkan mereka ketinggalan sembilan mata daripada kedudukan teratas LaLiga.
Ia merupakan kekalahan pertama pasukan gergasi Catalan itu kepada Rayo sejak Disember 2002 dan menamat rentetan 13 kemenangan ke atas lawan itu dalam LaLiga.
Sergi Barjuan kini dilantik sebagai jurulatih sementara Barca dengan Xavi dijangka akan dibenarkan untuk meninggalkan Al Sadd selepas pertemuan dengan pencabar utama, Al Duhail, dalam Liga Bintang Qatar minggu depan.
Ditanya menganai kemungkinan dia kembali ke Camp Nou sebagai ketua jurulatih, Xavi berkata: "Saya sedang fokus terhadap usaha saya di Al Sadd dan tidak akan bercakap mengenai perkara lain."
Xavi merupakan antara legenda Barcelona dengan rekod 85 gol dan 184 bantuan jaringan sepanjang 767 penampilan bersama kelab itu sewaktu bergelar pemain.
Dia kemudian menyertai Al Sadd pada 2014 dan menamatkan kerjayanya sebagai pemain bersama kelab itu sebelum dilantik menjadi jurulatih dan memenangi tujuh gelaran domestik.
Barca akan bertemu Deportivo Alaves di Camp Nou awal pagi esok sebelum bertandang ke laman Dynamo Kiev bagi perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tiga hari kemudian.