Ronald Koeman percaya mengendalikan Belanda akan menjadi lebih mudah dalam penggal keduanya kali ini.

Selepas tiga tahun, Koeman kembali ke mengemudi skuad Oranje bagi menggantikan peranan Frank de Boer selepas Piala Dunia di Qatar.

Dia akan berdepan ujian getir menentang Perancis ketika membuka kempen kelayakan ke Euro 2024 di Stade de France, awal pagi esok.

Koeman pernah membawa skuad kebangsaannya menamatkan kemarau penyertaan kejohanan antarabangsa apabila membawa Belanda layak ke Euro 2020 -– kejohanan pertama mereka sejak Piala Dunia 2014.

Bagaimanapun, Koeman melepaskan jawatannya demi ke Barcelona, sekali gus terlepas Euro 2020.

Justeru, dia kembali menyambung perjuangannya yang masih belum selesai.

"Sekarang lebih mudah berbanding dahulu apabila hanya terdapat beberapa pemain yang pernah saya jumpa di peringkat kelab.




"Tetapi kini saya pernah bekerjasama dengan 14 atau 15 daripada pemain yang berada di sini termasuk Frenkie de Jong dan Steven Bergwijn," katanya dalam sidang akhbar.

"Tetapi terdapat juga beberapa muka baru. Saya ingin tahu apa yang mereka fikirkan, apa yang kami fikirkan tentang mereka sebagai pemain, ia adalah satu perbualan yang menyeronokkan.


"Saya juga kerap berhubung dengan kapten saya, Virgil van Dijk, walaupun sudah meninggalkan pasukan kebangsaan.

"Semuanya terasa sangat normal.

"Kami mahu menjayakan skuad ini, kami perlu melakukannya bersama. Kami mantap tetapi kami perlu bekerja keras untuk beraksi dengan baik.

"Anda sentiasa mengikuti perkembangan pemain di kelab mereka dan pemain baru juga datang ke mari dengan rasa gelisah tertentu.

"Tahap tekanannya tinggi, saya gembira melihat kumpulan pemain ini melakukan banyak perkara bersama-sama.

"Malah, pemain baru turut menyertai muka 'lama' di meja makan. Ia satu proses yang bagus. Ia bagus untuk dilihat."