Kuching City akan melancarkan strategi bertahan untuk mengekang asakan pasukan Selangor dalam kempen suku akhir pertama Piala FA yang akan berlangsung di Stadium Negeri, Kuching, esok.

Skuad kendalian Nidzam Jamil kehilangan khidmat pemain muda, Mukhairi Ajmal selepas disahkan mengalami kecederaan selain pemain import Reziq Bani Hani dan Umar Eshmurodov tidak mencapai tahap kecergasan yang baik untuk diturunkan.

Naib juara Liga Super 2023 tersebut berwaspada dengan ancaman daripada serangan anak-anak buah Aidil Sharin Sahak yang diketuai oleh Tchetche Kipre dan dibantu oleh Jordan Mintah.

The Cats berada dalam motivasi terbaik selepas berjaya mengikat Terengganu sebelum ini dalam saingan Liga Super untuk meneruskan rentak kecemerlangan mahu menyekat hajat pasukan Selangor membawa bekalan selesa ke Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).