Sepanyol berjaya melangkah ke pusingan suku akhir selepas menyingkirkan Georgia 4-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Cologne, sebentar tadi.

Jaringan sendiri Le Normand menghukum skuad La Roja untuk ketinggalan 1-0 sebelum Rodri menyamakan semula kedudukan dalam separuh masa pertama.

Enam minit selepas separuh masa kedua bermula, tandukan Fabian Ruiz menggandakan jaringan Sepanyol melalui hantaran kemas Lamine Yamal untuk mengatasi Georgia 2-1 pada minit ke-51.

Anak buah Luis de la Fuente terus konsisten mendominasi separuh masa kedua dengan serangan yang merbahaya tetapi Georgia yang bermain secara bertahan menyukarkan jentera serangan Sepanyol menambah jaringan.




Nico Williams dan pemain gantian Dani Olmo menambah duka Georgia dengan jaringan paa minit ke-74 dan ke-82 untuk memastikan slot suku akhir menjadi milik Sepanyol.

Kedudukan 4-1 kekal hingga tamat perlawanan justeru membawa cabaran Sepanyol ke peringkat seterusnya berbanding Georgia yang terpaksa akur terkandas di pusingan 16 terbaik.

Untuk rekod, Sepanyol melakukan sekurang-kurangnya 35 percubaan dan 13 daripada percubaan tepat ke arah gawang pasukan Georgia.




Sepanyol akan berdepan cabaran daripada pasukan tuan rumah iaitu Jerman dalam pusingan suku akhir EURO 2024 nanti.