PENANG 0 KEDAH 1

Pasukan Kedah membawa pulang satu jaringan ke Stadium Darul Aman selepas mengulangi skrip keputusan Liga Super minggu lalu bertemu Penang untuk meraih kemenangan di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.


Skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli gagal memanfaatkan peluang di hadapan ribuan peminat tempatan susulan melepaskan percubaan yang tidak menggugat pertahanan pasukan Kedah.

Bekas pemain PDRM, Nabil Latpi mempunyai detik terbaik selepas 57 minit permainan berlangsung namun sepakannya sedikit tersasar.

Anak-anak buah Nafuzi Zain pula mengatur serangan tanpa henti untuk memberikan asakan selain membuat banyak percubaan berbahaya.

Hasilnya, bekas pemain Negeri Sembilan, Hasbullah Abu Bakar, muncul penjaring tunggal aksi suku akhir Piala FA itu selepas tangkapan kurang kemas yang dibuat oleh penjaga gol Penang, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, akibat lantunan daripada sepakan pemain import Kedah, Sonny Norde.

Sang Kenari berpeluang menggandakan kelebihan oleh penyerang, Ebenezer Assifuah, namun, video bantuan pengadil (VAR) sekali lagi menggagalkan impian pemain kelahiran Ghana itu apabila larian yang dibuat oleh Fazrul Amir didapati ofsaid.