Erling Haaland menjaringkan gol ke-29 musim ini ketika Manchester City mara ke suku akhir saingan Liga Juara-Juara dengan kemenangan 3-1 ke atas Copenhagen sementara Real Madrid berhempas pulas untuk menyingkirkan RB Leipzig.

Pemain kebangsaan Norway itu menemui jaringan selepas jaringan awal daripada Manuel Akanji dan Julian Alvarez di Stadium Etihad untuk memastikan juara bertahan itu menangn 6-2 secara agregat.

Pertahanan, Akanji menyempurnakan jaringan seawal minit kelima buat City dan tiga minit kemudian kedudukan menjadi 2-0 apabila tandukan Rodri berjaya disambar masuk Alvarez.



Mohamed Elyounoussi mengurangkan defisit jaringan namun Haaland memastikan kemenangan sebelum tamat separuh masa pertama.

Willi Orban memastikan Real Madrid mengalami kesukaran terlebih dahulu di Stadium Bernabeu sebelum mara ke suku akhir ketika seri 1-1 dengan RB Leipzig.

Mendahului 1-0 dalam aksi pertama di Jerman, kelab Sepanyol itu terpaksa menunggu sehingga minit ke-65 untuk Vinicius Junior meletakkan mereka di hadapan.

Bagaimanapun, Orban menyamakan kedudukan tiga minit kemudian dan sekali lagi hampir mendapatkan jaringan sebelum pendahulu LaLiga itu berjaya menang 2-1 secara agregat.