Perlawanan suku akhir pertama Piala FA di antara Penang dan Kedah Darul Aman (KDA) menyaksikan kedua-dua pasukan menurunkan kesebelasan utama terbaik bagi mendapatkan bekalan selesa sebelum perlawanan timbal balik kedua Julai depan.

Penjaga gol kebangsaan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, sekali lagi diberi kepercayaan sebagai tembok terakhir pasukan Penang untuk menghentikan serangan pasukan lawan.


Bekas pemain Terengganu, Nik Akif Syahiran Nik Mat kembali dalam barisan utama untuk memperkuat jentera tengah sambil dibantu oleh pemain berpengalaman, Syamer Kutty Abba untuk membentuk kawalan terbaik.

Skuad kendalian Nafuzi Zain, menurunkan pemain import, Ebenezer Assifuah, sebagai penyerang utama selepas berjaya merobek gawang pasukan Penang dalam saingan Liga Super sebelum ini.


Tumpuan turut terarah kepada penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad, yang mahu memperagakan permainan berkualiti tinggi susulan kembalinya daripada kecederaan baru-baru ini.