Pakar bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri, berkata isu yang sedang melanda pasukan Selangor dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ketika ini tidak akan mengganggu perjalanan liga tempatan, terutama Liga Super.

Bekas pemain kebangsaan itu berharap perkara yang terjadi ketika ini tidak akan berlarutan dan menjadi isu yang lebih besar buat arena bola sepak negara.

"Kalau kita lihat ada gangguan, bagi saya ia mungkin tidak secara keseluruhan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.

"Kerana apa yang kita lihat sekarang ini, ia hanya melibatkan keputusan (hukuman) MFL ke atas Selangor.

"Tetapi untuk perjalanan liga, untuk perjalanan Piala FA ketika ini, saya jangkakan ia mungkin tidak akan memberikan kesan yang besar kepada pasukan untuk menghadapi perlawanan.

"Sebenarnya, saya mengharapkan perkara ini tidak dibawa kepada satu perkara yang lebih besar dan lebih sukar yang akan mengganggu perjalanan bola sepak di negara ini."

Terdahulu, MFL mengenakan empat hukuman kepada Selangor atas kegagalan The Red Giants hadir ke Perlawanan Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) susulan tragedi simbah asid ke atas bintang The Red Giants, Faisal Halim.

Hukuman itu, bagaimanapun, kemudian dipertimbangkan dengan hukuman yang lebih ringan atas budi bicara MFL bagi menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.