Julian Nagelsmann yakin pasukannya mampu mengatasi tekanan sebagai tuan rumah ketika mereka membuat persiapan untuk aksi pembukaan bertemu Scotland awal pagi esok.

Pengendali berusia 36 tahun itu bakal mengendali pasukan dalam kejohanan utama selepas mengambil alih tempat Hansi Flick September lalu dan hanya tewas sekali dalam lapan perlawanan.

Jerman sebelum ini bergelut beraksi di pentas utama, tersingkir di pusingan 16 Euro 2020 sebelum gagal melepasi peringkat kumpulan ketika Piala Dunia 2022.

Bagaimanapun, Die Mannschaft meletakkan sasaran untuk mengatasi rentetan malang itu, mengejar gelaran takhta Eropah keempat sejak kali terakhir memenangi pada 1996, Nagelsmann yakin pasukannya mampu menyalurkan semangat positif menjelang saingan yang bakal bermula itu.

"Saya rasa kami agak gementar, tetapi ia adalah satu perkara penting, kami perlu mempunyai rasa gementar tertentu," katanya.

"Saya melihat mata pemain kami dan melihat kepercayaan dan kemahuan untuk menang.

"Saya mahu kami percaya pada diri sendiri: kami mempunyai pemain yang hebat, kebersamaan yang baik, kelebihan di tempat sendiri, kami mempunyai sesi latihan yang hebat dan mentaliti yang baik.


“Kami mempunyai segala-galanya: kami hanya perlu menunjukkannya esok, dan itulah sebabnya kepercayaan adalah sangat penting.

"Kami boleh mengatasi tekanan, dan kami juga boleh menewaskan Scotland."